Wednesday, December 9, 2015

Senja Menanti Maghrib

Bismillah.

Waktu senja hampir Maghrib selalu sahaja membawa fikiran ini melayang ke zaman belajar di KISAS 10 tahun yang dulu. Kerana bacaan alQuran yang dipasang di corong masjid sebelum masuk waktu Maghrib seolah mengingatkan diri ini tentang suasana di surau asrama puteri sewaktu di KISAS. Sambil tunggu masuknya waktu Maghrib, jasad ini sudah terbiasa untuk turun awal dan membaca beberapa helaian alQuran, adakala dengan perasaan sayu, kerana rindu akan keluarga yang jauh di Johor. Namun perasaan ketika itu juga sememangnya indah, berada di surau yang dipenuhi teman-teman yang sama-sama menanti waktu solat, sambil masing-masing mencari pahala dengan membaca ayat-ayat cinta dari Tuhan.

Terkadang rasa sungguh rindu pada zaman itu, sungguh. Namun bukan rindu untuk kembali ke suasana itu, akan tetapi rindu untuk menjadi diri yang suci seperti ketika itu. Di Kisas lah diri ini mula belajar akan erti pergantungan kepada Tuhan, belajar untuk berbicara dengan kawan-kawan akan hebatnya Tuhan, juga belajar untuk meneruskan perjuangan meski sekali sekala rasa jatuh terjelepuk ke hadapan. Almaklum, sebelum Kisas, diri ini tidak pernah berada di sekolah agama, yang benar-benar menitikberatkan soal agama selain akademik.

Bukanlah terlalu suci, namun waktu itu segalanya masih baru. Jiwa masih baru dalam mengenali pengorbanan kepada agama, semangat masih baru dalam mengamalkan ilmu-ilmu agama yang sentiasa memenuhi hari, tak kira siang ataupun malam. Waktu itu, hati masih terasa suci, masih dipenuhi ilmu agama semata. Cabaran yang datang juga hanya lah tentang pelajaran. Tiada masalah hati, tiada masalah terlalu leka dengan urusan dunia.

Ya Allah betapa aku rindu diriku di waktu itu. Ampunkan khilafku selama aku meninggalkan bumi waqafan Kisas yang disayangi. Terima kasih ya Allah kerana pernah mencampakkan diriku ke sana. :')



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...