Friday, March 4, 2016

Dalam Diam Aku Mengagumi

Bismillah.

DIA, TEAM EL SAJIDA

Tiba-tiba sahaja tangan ini terasa ringan untuk menaip tentang salah seorang ahli team El Sajida. Semestinya masing-masing ada cerita dan keistimewaan masing-masing, namun yang seorang ini amat menyentuh hati kisahnya. Boleh juga dikatakan saya pernah beberapa kali mengalirkan airmata ketika teringatkan kisahnya.

Dia pernah bekerja sewaktu raya, sekejap sahaja kerana pada waktu itu, kami hanya perlukan pekerja separuh masa untuk membantu menguruskan packing & posting. Kemudian, dia kembali menyambung pelajarannya di Melaka. Saya kira itu kali terakhir dia di El Sajida, namun selepas beberapa bulan, dia hubungi saya dan menyatakan hasrat untuk bekerja semula kerana dia sudah berhenti belajar.

Saya tidak banyak soal ketika itu, memandangkan dia seorang staff yang bagus, saya menerimanya masuk dan tidak bertanya itu ini tentang apa yang terjadi padanya (berkenaan dia berhenti belajar). Sememangnya saya tertanya, tapi saya kira perkara itu tidak perlu saya sibuk-sibuk untuk ambil tahu. Jika suatu hari nanti dia mahu bercerita, saya sedia mendengar.

Dan akhirnya dia membuka mulut tentang kisahnya. Kisah hidup yang memang meyedihkan namun saya kagum kerana saat dia menceritakan apa yang dia pernah alami, setitis airmata pun tidak ada. Malah cara dia bercerita sangat bersahaja sedangkan peristiwa-peristiwa pahit yang berlaku itu tidaklah lama sudah berlalu.

KISAH IBUNYA

Tidak ada kisah ibunya, kerana ternyata ibunya sudah meninggal dunia kerana kanser. Dan paling menyedihkan kerana ibunya pergi tanpa dia dan adik-beradik bersedia. Mereka langsung tidak tahu sebelum itu bahawa ibu mereka sakit tenat.

Satu perkara yang amat saya sayu ketika teringatkannya adalah saat saya melihat dia di biliknya (di rumah staff), lalu saya terbayang bahawa orang lain yang tinggal berjauhan dengan keluarga, yang ada bilik khas di rumah yang bukan milik keluarga sendiri, pasti akan merindui kampung halaman, pasti sekali sekala teruja mahu pulang jumpa ibubapa, pasti sentiasa menanti hari cuti untuk memeluk ibu. Namun semua itu tidak berlaku kepadanya. Bilik itu seolah-olah bilik yang bakal dia huni setiap hari, tanpa perlu menunggu cuti untuk bertemu ibu. Katanya setiap malam dia membaca Al Quran untuk ibunya dan kadangkala sambil disulami airmata.Ya Allah... dan tangan ini menaip dengan mata yang berkaca-kaca..

Dia ada adik beradik, namun masing-masing sudah besar, sudah boleh menjaga diri sendiri dan ada komitmen masing-masing. Namun sekali sekala dia akan berkumpul dengan adik beradik juga. Mungkin itu sahajalah yang dia ada setelah ditinggalkan ibu ketika usia masih muda. Dan kerana adik beradik itulah dia berhenti belajar meskipun dia seorang pelajar straight A. Katanya dia perlu kumpul wang, perlu bekerja. Allahu akbar, besarnya pengorbanan yang dia lakukan dalam usia yang belum pun mencecah angka puluhan.

UJIAN MEMATANGKAN

Ternyata dia seorang pekerja yang sangat berdedikasi, yang tidak perlu dipantau. Dia tahu apa kerja yang perlu dilakukannya dan tidak perlu ada boss di sisi untuk memastikan kerja-kerjanya berjalan. Tahun ini dia masuk umur 20. Katanya dia sudah banyak pengalaman bekerja. Sungguh saya amat kagum dengan anak muda yang sudah biasa mencari wang sendiri, sekurang-kurangnya untuk menyara diri sendiri. Kerana dari situ dia akan belajar tentang kepayahan hidup, juga dia akan belajar menghargai setiap kesusahan yang dia perlu hadapi demi memastikan kelangsungan hidup.

Anak-anak muda seperti ini, mereka sangat berharga. Sangat matang dalam menjalani kehidupan. Tidak mudah melatah, tidak cepat mengalah dan sangat komited dalam melakukan apa sahaja tugasan yang diberikan. Dari dulu saya memang cepat tertarik dengan mereka yang hidup susah, yang tahu menghargai wang dan menghargai orang lain. Orang yang hidupnya sentiasa senang, dia tidak tahu menghargai hidupnya dan cepat mengalah saat terjatuh.

DOA UNTUKNYA

Tidak apa yang mampu saya beri padanya untuk membantu hidupnya melainkan sebuah doa supaya dia diberi kebahagiaan dan ketabahan. Saya paling sedih jika dia ada masalah lalu berkata "mungkin memang nasib anak yatim macam ni..." Allahu akbar, tak mampu saya gambarkan luluhnya hati ini saat dia berkata sedemikian. Tidak ada apa yang salah tentang menjadi seorang anak yatim wahai adikku... Bersabarlah. Engkau terlalu istimewa, terlalu berharga, terlalu Allah sayang dan cinta...






p.s.: Untuk kamu yang dimaksudkan, andai terbaca tulisan ini, simpan sahaja dalam hati, Usah diberitahu. :) 






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...