Sunday, July 31, 2016

Hampir Mati (bahagian 2)

Bismillah.

Cerita kedua tentang pengalaman yang hampir meragut nyawa. Mungkin kali ni kurang debarannya sebab masih boleh bernafas, tak macam kes lemas yang hampir habis kemampuan untuk bernafas.

Tahun 2011. Ke Brunei menaiki kereta. Suami ada kerja di Miri (waktu ni kami tinggal di Bintulu, Sarawak). Dan memandangkan Brunei tidak berapa jauh dari Miri, jadi kami pun mengambil peluang ini untuk berjalan ke Brunei untuk beberapa jam.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Brunei ke Miri, kami melalui satu jalan yang sangat gelap sehinggakan kami tidak dapat melihat apa-apa langsung. Terlalu gelap dan semestinya jalan di hadapan juga tidak kelihatan. Ketika itu kereta kami (kereta Kancil) terlalu laju. Dalam kegelapan serta kelajuan itu, tiba-tiba kereta kami terbang! Rupanya kami memasuki kawasan pembinaan di mana di kawasan itu terdapat banyak timbunan pasir dan tanah. Jalannya juga amat tidak rata.

Bayangkan kereta Kancil kami ketika itu yang sedang laju, meluncur laju di atas timbunan-timbunan serta longgokan pasir. Terus sekelip mata kereta kami terbang agak jauh dan sungguh, waktu itu kami tak tahu apa yang ada di hadapan. Dalam hati saya ketika itu, saya seolah-olah sudah redha jika kami jatuh ke dalam gaung atau kereta bergolek.

Namun syukur suami masih mampu mengawal kereta & tidak ada gaung di hadapan. Kereta kami terhempas semula ke atas tanah dan mati enjinnya. Suami dengan segera undurkan kereta dan memandu keluar dari kawasan itu. Bimbang kalau-kalau ada penjahat. Selepas beberapa kilometer berada jauh dari kawasan tadi, suami keluar untuk cek kereta. Almaklumlah kereta kecil & murah, mestilah bahaya jka sudah terbang dan terhempas semula. Dan syukur sekali lagi kerana tiada apa-apa kerosakan yang berlaku.

Oh, lupa untuk saya beritahu bahawa ketika itu, saya sedang mengandung 4 bulan. Bermakna kandungan masih kecil. Risau juga kalau-kalau apa terjadi. jadi kami berhenti di stesen minyak berdekatan dan saya ke bilik air untuk cek kalau-kalau ada darah yang mengalir akibat keguguran. Alhamdulillah my baby survived. :')

Setelah itu kami teruskan perjalanan pulang ke hotel di Miri dan masing-masing diam tanpa kata. Keesokan pagi, usai solat Subuh berjemaah, masih lagi kami berdua diam. Banyak termenung. Banyak merefleksi diri dan dibiarkan dengan fikiran masing-masing. Mungkin kerana kami masih lagi dalam kondisi yang seolah-olah tidak percaya apa yang berlaku kepada kami dan betapa bersyukurnya kami kerana Allah masih beri kami nyawa, malah kesihatan yang sempurna. Ya Allah betapa besarnya rahmatMu kepada kami sekeluarga.

Mudah-mudahan dengan nyawa yang masih Tuhan beri ini, kami akan terus cuba untuk membina kehidupan yang Allah redha dan diberi peluang untuk menyumbang sesuatu kepada ummah.

Amin ya Rabb.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...