Sunday, June 4, 2017

Bengkel Lady Boss

Bismillah.

Saya selalu tulis yang saya tak berapa minat untuk gelarkan diri saya sebagai ladyboss. Saya lebih suka gelarkan diri saya sebagai founder. Kenapa? Mudah saja, bagi saya istilah founder lebih formal, lebih matang & lebih dekat di jiwa saya. Tapi saya tak ada masalah jika perempuan lain gemar gelarkan diri mereka sebagai lady boss. Tidak ada yang salah tentangnya. :) Tapi kenapa saya tulis tajuk ladyboss? Okay, sebab siang tadi saya ada join kelas Lady Boss 101 di bawah kelolaan ABS. Semuanya dari wanita untuk wanita, terutamanya wanita yang perlu menjadi leader dan ada beberapa anak buah di bawahnya untuk dipimpin.

Sekian lama saya tak hadiri sebarang seminar berkaitan bisnes, rasanya lebih setahun juga. Kali terakhir adalah seminar Sifu Fbads sebelum raya tahun lepas. Saya memang nak join seminar lady boss ini sebab saya tahu saya amat cetek ilmu pengetahuan dalam bab menjadi pemimpin. Dari dulu saya ni sejenis yang lebih minat untuk bekerja di bawah orang (menerima arahan) dan bekerja di sebalik tabir. Jadi apabila tiba-tiba saya ada ramai pekerja di bawah saya, saya jadi buntu juga bagaimana cara terbaik untuk menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh & ada karisma.

Walaupun bengkel ni cuma 3jam, tapi input yang saya dapat, benar-benar input yang saya perlukan & akan praktikkan semampunya. Yang paling saya suka ialah topik "Karisma Nabi" dan bagaimana kita boleh contohi Baginda Sollallahu alaihi wasallam. Bila penceramah sebut beberapa hadith dan bercerita serba sedikit tentang hadith tersebut, saya jadi sangat teruja, walaupun ada hadith yang memang saya dah tahu, tapi saya tetap seronok & impressed, macam dengar cerita yang pertama kali saya dengar. Subhanallah betapa aura baginda sollallahu alaihi wasallam tak pernah pudar sehingga kini.

Cuma satu je saya nak rumuskan tentang karisma Nabi. Bezanya karisma cari Nabi & Karisma cara barat adalah, Nabi gunakan akhlak & tingkah laku untuk mempengaruhi manusia. Sedangkan karisma barat lebih cenderung menggunakan material untuk menarik orang menyukainya/ terpengaruh. Contohnya bergambar dengan kereta mewah. Nabi tak perlu semua itu, Nabi tak ajar semua itu. 'Kos' karisma Nabi sangat murah & semua orang mampu ikuti; iaitu guna akhlak & peribadi kita. Dalam masa yang sama, cara percakapan & cara berurusan dengan orang di bawah baginda juga turut dibincangkan.

Sebenarnya kita ni amat kurang mengkaji hadith, amat kurang mengaplikasikan hadith dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita fikir, hadith nabi tu adalah sekadar cerita atau kisah zaman lalu. Tapi kita mungkin tak sedar bahawa kisah perang Badar/ Uhud/Khandak ada sesuatu padanya yang kita boleh praktikkan dalam menjadi seorang pemimpin. Boleh jadi juga kita tidak perasan bahawa pada proses penulisan/ pegumpulan alQuran secara berperingkat itu, ada pengajarannya yang boleh kita praktikkan pada zaman ini.

Sungguh saya rindu untuk belajar hadith. Rindu untuk mengkaji hadith, di mana padanya terdapat mukjizat demi mukjizat. Dan padanya juga tersirat hidayah buat manusia yang mencari kebenaran. Betapa ramai lagi sebenarnya yang tidak tahu apa itu hadith? Apa kategori hadith? Bagaimana ulama hadith menentukan taraf hadith? Adakah semua yang dikatakan hadith itu adalah benar-benar sahih dan datang dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam? Semua ini persoalan yang kita perlu jawab dan perlu kenalpasti kenapa masih ramai kurang ilmu tentang apa itu sebenarnya hadith.

Silap besar bila orang fikir bahawa hadith ni hanya untuk pelajar jurusan agama, sedangkan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berkata bahawa hadith tu adalah salah satu daripada dua perkara yang akan menyelamatkan kita dari kesesatan. Maka adakah hanya pelajar jurusan agama sahaja yang perlu selamat dari kesesatan? Semestinya tidak, dan semestinya hadith itu perlu dipelajari & difahami oleh semua yang bergelar Muslim.

Mudah-mudahan satu hari nanti Allah beri saya peluang untuk terus belajar hadith, tak pakar pun tak apa, asalkan saya ada ilmu tentang apa yang diajar dalam hadith & paling penting, saya praktikkan ilmu yang dipelajari itu inshaAllah.

Gambar hiasan: Bilik saya di UIA dahulu, sebagai pelajar jurusan Al Quran & As Sunnah. :)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...