Tuesday, August 8, 2017

Rahsia Kita & Tuhan

Bismillah.

Pernah tak kita diuji dengan sesuatu perkara yang kita tak mampu nak ceritakan pada sesiapa? Segala jerit perih yang dialami, kita hanya berkongsi dengan Tuhan. Semakin hari kita rasa kita semakin lemah, kerana ujian yang ditanggung terasa kian berat.

Paling menyakitkan kerana semua yang melihat kita beranggapan bahawa semuanya baik-baik sahaja tentang kita. Malah mereka memandang betapa beruntungnya kita dengan takdir hidup yang sedang kita jalani. Mereka hanya nampak apa yang tersurat dan bukan yang tersirat.

Seandainya kita pernah alami situasi ini, ada satu perkara yang harus kita sedari dari ujian sebegini; ujian yang hanya Allah tahu tentangnya, ujian yang tidak mampu kita ceritakan kepada sesiapapun. Iaitu Tuhan sedang mengajar kita untuk bergantung harap padaNya satu-satunya, Dia mahu kita memahami bahawa dalam dunia ini, jika kita hanya ada Dia, kita sebenarnya tidak kurang apa-apa. Tuhan mahu kita sedar bahawa meski tiada siapa yang tahu tentang penderitaan kita, kita tetap mampu bertahan dan terus kuat berjuang dan tidak lain tidak bukan, kekuatan itu hanya datang dari Dia.

Jangan sedih andai orang lain tidak memahami perjuangan kita, apatah lagi kesakitan yang kita alami. Kerana sememangnya mereka tidak ditakdirkan untuk melalui pengalaman seperti kita, lalu bagaimana mereka mampu benar-benar memahami sesuatu perkara yang tidak pernah mereka alami?

Tapi sedihlah seandainya kita tidak menggunakan peluang 'ujian' ini sebagai satu medan yang mendekatkan lagi kita kepada Tuhan. Tuhan tidak pernah menguji kerana benci, tapi Dia mahu kita kembali.

Moga terus kuat, moga terus dekat dengan Allah yang Maha Hebat. <3

Takkan pernah berhenti menyukai kata-katanya yang satu ini. :')

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...